1. Bagaimana cara menjadi anggota KPF ?
Permohonan menjadi anggota hendaklah dibuat dalam borang rasmi Koperasi ini dan dialamatkan kepada setiausaha Koperasi atau pegawai Koperasi yang dipertanggungjawabkan
Kelayakan untuk menjadi anggota KPF ialah:
- peneroka-peneroka Felda, isteri dan anak-anak;
- koperasi-koperasi peneroka Felda yang didaftarkan di bawah Akta sebagai koperasi asas atau koperasi menengah
- kakitangan Felda, isteri dan anak-anak; dan
- koperasi kakitangan Felda yang berdaftar di bawah Akta
- warganegara Malaysia
- telah mencapai umur lapan belas tahun
- bermastautin atau mempunyai hartanah atau bekerja dalam kawasan operasi Koperasi ini; dan
- bukan seorang yang terhadapnya masih berkuatkuasa suatu sabitan bagi kesalahan yang boleh daftar, atau bankrap yang belum dilepaskan, atau pernah dibuang daripada keanggotaan mana-mana koperasi dalam tempoh satu tahun
2. Di mana tambahan modal syer boleh dibuat ?
Tambahan syer boleh dibuat di mana-mana Kaunter KPF atau melalui Pejabat Felda atau mengirim bayaran tambahan (bukan tunai) kepada KPF.
3. Bagaimana cara untuk membuat tambahan modal syer melalui potongan gaji ?
Anda perlu mengemukakan permohonan potongan gaji terus kepada majikan masing-masing. Potongan gaji minimum adalah RM10.00 sebulan.
4. Berapakah jumlah maksimum modal syer yang boleh dimiliki?
Jumlah terkumpul modal syer yang dibenarkan bagi sesebuah keluarga (eg.peneroka,isteri & anak-anak) tidak lebih daripada RM250,000. Agihan pemilikan bagi setiap individu dalam keluarga berkenaan tidak ditetapkan.
5. Bagaimanakah cara pengeluaran wang modal syer?
Permohonan pengeluaran syer boleh dilakukan di kaunter atau permohonan secara pos dan hendaklah dibuat dalam borang rasmi KPF atau permohonan secara bertulis.
Anda perlu membawa bersama Kad Pengenalan semasa permohonan di kaunter atau melampirkan salinan Kad Pengenalan bagi permohonan secara pos.
6. Apa perlu dibuat jika bertukar alamat atau maklumat peribadi yang lain?
Anda perlu mengemaskini sebarang perubahan maklumat dengan mengisi Borang Pertukaran Maklumat Anggota.
7. Adakah anggota wajib membayar zakat simpanan atas wang modal syernya di KPF?
Modal syer anggota-anggota KPF disatukan dalam Kumpulan Wang Modal Syer dan dijadikan sebagai modal perniagaan. Modal perniagaan ini dilabur oleh KPF dalam bidang-bidang perniagaan seperti pelaburan harta tanah, bangunan dan bidang-bidang lain yang halal mengikut lunas-lunas Islam. Kumpulan Wang Modal Syer ini digunakan oleh KPF untuk tujuan perniagaan.
KPF membayar zakat perniagaan bagi pihak anggota dan dengan demikian anggota tidak perlu lagi membayar zakat simpanan ke atas wang modal syer mereka.
8. Kenapakah aggota KPF tidak diberi resit zakat supaya mereka boleh tuntut pelepasan cukai pendapatan?
KPF membayar zakat perniagaan, bukannya zakat simpanan perseorangan,dengan ini resit zakat tidak dikeluarkan kepada anggota.
9. Adakah KPF menghantar penyata bagi jumlah modal syer anggota dalam KPF?
Penyata kepada anggota KPF dihantar dua kali setahun iaitu penyata sehingga 30 Jun dan sehingga 31 Disember. Anggota juga boleh mendapatkan penyata melalui kemudahan e-Penyata secara on-line di laman portal KPF di alamat http://kpf.felda.net.my
10. Bolehkah saya mengetahui baki modal syer saya melalui telefon dan melalui emel?
Maklumat baki modal syer anggota adalah SULIT, anggota perlu hadir sendiri di kaunter KPF untuk mendapatkan baki atau melalui kemudahan e-Penyata dengan melayari laman portal KPFdi alamat http://kpf.felda.net.my
11. Apakah yang dimaksudkan penama?
Mengikut hukum syarak, penama yang ditulis di dalam skim-skim wang simpanan tidak dengan sendirinya menjadi hak milik kepada penama tersebut. Penama adalah wasi atau pentadbir harta. Ia masih tertakluk kepada pembahagian faraid. Oleh itu, wang-wang tersebut menjadi peninggalan harta si mati dan hendaklah dibahagiakan secara faraid.
Jika penamaan dibuat, KPF menurut Akta dan Undang-undang Kecil berhak mengeluarkan wang itu kepada penama. Penamaan tidak boleh disifatkan sebagai wasiat. Hal ini kerana ia tidak memenuhi beberapa syarat wasiat seperti lafaz wasiat, kesaksian, kadar yang dibolehkan harta diwasiatkan, kepada siapa dinamakan dan ketiadaan milikan sempurna atas wang itu.
Bagi orang Islam, penamaan hanya bagi membenarkan KPF mengeluarkan wang itu kepada penama untuk diagihkan kepada waris yang berhak. Pengeluaran wang dengan cara ini tidak mengambil masa lama di mana waris tidak perlu menunggu sijil faraid dan surat pentadbiran harta pusaka dikeluarkan. Penama bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengagihkan wang itu mengikut hukum faraid.
Bagi orang bukan Islam, penamaan adalah untuk membenarkan KPF mengeluarkan wang itu kepada penama. Penama bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengagihkan wang itu mengikut undang-undang.
12. Apakah dia Borang Penamaan?
Borang Penamaan wajib diisi semasa pemohon menjadi anngota KPF. Borang Penamaan memudahkan pembayaran wang modal syer kepada waris sekiranya berlaku kematian kepada anggota. Penama adalah terdiri daripada waris-waris yang berhak mengikut Hukum Syarak. Wang tersebut bukanlah milik penama, penama hanyalah bertindak sebagai wakil atau pentadbir. Setelah dikeluarkan, wang tersebut hendaklah dibahagikan kepada waris-waris mengikut faraid. Penamaan boleh dikemaskini mengikut keperluan anggota.
13. Berapa orangkah boleh dinamakan sebagai penama?
Penamaan anggota muslim dihadkan kepada seorang sahaja, manakala anggota bukan muslim boleh melebihi daripada seorang.
14. Bagaimanakah cara pengeluaran wang pusaka?
- Jika anggota Melantik Penama:
Penama hendaklah melengkapkan Borang Permohonan Pengeluaran dan majukan kepada KPF. - Jika Pendeposit Tidak Melantik Penama:
Waris terdekat perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir/Surat Probet/Perintah Pembahagian/Sijil Faraid daripada pihak yang menguruskan harta pusaka seperti Amanah Raya Berhad atau Mahkamah atau Pejabat Tanah. Proses untuk mendapatkan dokumen-dokumen berkenaan biasanya mengambil masa yang panjang dan pemohon akan dikenakan bayaran tertentu.
15. Adakah selepas kematian, wang modal syer anggota perlu difaraidkan walaupun ada penama?
Borang Penamaan yang diisikan padanya nama pewaris BUKAN sebuah wasiat. Oleh itu pewaris yang diletakkan sebagai penama dalam “Borang Penamaan” KPF, BUKAN penerima wasiat. Penama hanyalah "pemegang amanah @ pentadbir‟.
Penama tidak mempunyai hak mutlak ke atas wang yang diterimanya. Ia mesti dibahagikan menurut hukum faraidh.
Tujuan borang tersebut ialah bagi membolehkan KPF mengeluarkan wang modal syer anggota yang meninggal dunia kepada pemegang amanah yang dinamakan dengan cepat untuk dibahagikan kepada waris-waris yang berhak.
16. Bagaimana penama untuk mengagihkan wang pusaka anggota?
Pengeluaran modal syer bagi anggota yang telah meninggal dunia (Pengeluaran Pesaka) boleh diuruskan oleh waris simati yang telah diberi kuasa melalui Borang Penamaan atau Borang Pemegang Amanah atau mendapatkan surat kuasa melalui salah satu dari cara-cara berikut:
- Surat tuntutan pesaka (bagi anggota muslim) dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah yang boleh didapati di Pejabat- pejabat Kadi atau Pejabat Jabatan Agama Islam Negeri di Ibu Negeri, atau;
- Surat Kuasa Bicara Kecil yang di uruskan oleh Pejabat Tanah/Daerah menerusi Bicara Pembahagian Harta Pesaka si mati, atau;
- Surat Pentadbir Harta Pesaka yang diurus oleh Pegawai Pentadbir Pesaka atau Pemegang Amanah Raya , atau;
- Surat Kuasa Pentadbiran dari Mahkamah Tinggi
17. Adakah waris anggota KPF layak mendapat/menuntut wang sumbangan khairat kematian sekiranya anggota meninggal dunia?
KPF ada menyediakan sumbangan khairat kematian ke atas anggota atau pasangan atau tanggungannya yang meninggal dunia. Anggota atau waris perlu lah menuntut wang sumbangan khairat tersebut selagimana mereka adalah waris yang sah, menggunakan borang tuntutan yang disediakan.
18. Sekiranya ada wang sumbangan khairat kematian, apakah syarat-syaratnya.
- Anggota perseorangan telah menjelaskan bayaran modal syer minimum RM100.00.
- Kadar bantuan yang diberikan sekiranya berlaku kematian ialah:
- Kematian anggota : RM1,000.00
- Kematian Isteri/suami : RM 500.00
- Kematian anak : RM 250.00
- Anggota/waris hendaklah mengemukakan dokumen-dokumen berikut :
Dua (2) salinan:- Kad Pengenalan simati;
- Sijil kematian;
- Permit pengkuburan (yang disahkan oleh Ketua Polis Daerah atau Pegawai Perubatan atau Pengurus Rancangan atau Majikan yang mana berkenaan);
- Laporan polis jika sabit kematian akibat kemalangan atau seumpamanya.
- Tuntutan pembayaran hendaklah dibuat dalam tempoh 3 bulan dari tarikh kematian.
19. Bagaimanakah cara KPF mengira dividen tahunan ?
Dividen KPF dikira berdasarkan baki terendah bulanan. Baki terendah bulanan bermaksud baki modal syer selepas mengambil kira pergerakan urusniaga simpanan dan pengeluaran setiap bulan.
20. Bilakah dividen tahunan dibayar?
Dividen tahunan tidak melebihi 10% dibayar selepas akaun beraudit bagi sesuatu tahun kewangan diluluskan oleh Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan. Manakala jika melebihi daripada kadar itu jika ada, perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, mematuhi perenggan 24 Peraturan Koperasi 1995.
21. Adakah dividen KPF dikecualikan daripada cukai pendapatan?
Ya, dividen KPF dikecualikan sepenuhnya daripada cukai pendapatan.