Orang Awam
Petugas
Rencana

Rencana

Sakinah Salleh Dilantik Ketua Pegawai Eksekutif KPF

Puan Sakinah Saleh (45 tahun) yang memangku tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sejak Februari 2014, telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa 1 November 2014. Beliau telah berkhidmat selama 14 tahun bersama KPF bermula dengan jawatan sebagai Akauntan. Pengalaman luas yang beliau perolehi semasa memegang jawatan Pengurus dan seterusnya Pengurus Besar Kewangan & Pelaburan, diharap dapat memacu KPF lebih cemerlang dan gemilang untuk masa hadapan.

KPF Berpindah Pejabat Ke Wisma FELDA

FELDA yang semakin berkembang melalui subsidiarinya Felda Investment Corporation Sdn Bhd, merancang untuk membangunkan Anjung Felda dengan projek pembangunan kediaman dan komersial. Sehubungan itu, pejabat KPF di Blok J Anjung Felda telah dipindahkan ke bangunan Wisma FELDA mulai 1 Oktober 2014. Pejabat baru ini menempatkan Khidmat Kaunter yang lebih selesa serta mesra pelanggan di Aras Bawah manakala jabatan-jabatan lainnya di Aras Dua. Dengan beberapa nilai tambah kemudahan yang disediakan, Khidmat Kaunter dan pejabat KPF ini diharap dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan, keselesaan dan kepuasan semua anggota yang berurusan.

KPF Memberi Tumpuan Kepada Sektor Perladangan Sebagai Salah Satu Teras Perniagaan

Sejajar dengan Pelan Perniagaan Lima Tahun (2013-2017), KPF telah menubuhkan satu lagi syarikat subsidiarinya iaitu KPF Plantations Sdn Bhd. Syarikat ini akan menguruskan dan melibatkan diri dalam sektor perladangan sawit dan perkilangan. Pada masa ini KPF memiliki hampir lebih 50,000 ekar (20,200 hektar) ladang sawit berhasil di Samarahan, Sarawak dan Ladang Aring, Blau serta Limau Kasturi di Gua Musang. Sektor perladangan merupakan pelaburan untuk tempoh jangka panjang. Walaupun harga sawit jatuh pada waktu ini, namun ia adalah normal dan masih baik, yang dijangka mampu menyumbang kepada perolehan sebanyak 30 hingga 40 peratus pada 2016.

Kompleks Hotel Bangi Siap Awal 2016

Pembinaan Kompleks Hotel Bangi yang mengandungi 300 bilik Hotel, Dewan Bankuet, 200 unit Service Apartment dan sebuah Garden Restaurant sedang rancak dalam pembinaan. Keseluruhan pembinaan Kompleks Hotel ini yang kini sudah mencapai 60% tahap kesiapan, dijadualkan akan beroperasi sebelum akhir 2015. Anak syarikat KPF, Felda D’Saji Sdn Bhd telah dilantik sebagai operator untuk mengendalikan operasi hotel, yang akan dikenali sebagai Hotel Tenera Bangi. Hotel Tenera Bangi yang bertaraf 4 bintang dengan Dewan Bankuet yang boleh menampung seramai 2,000 orang pada sesuatu acara dengan kemudahan 200 bilik Service Appartment dan sebuah Garden Restaurant yang berkonsep hiasan Bali dijangka mampu menjadi salah satu tarikan venue utama di Lembah Klang.

KPF Terima Anugerah Koperasi Terbaik Hartanah

Bertempat di Stadium Mini Kuala Pilah, Negeri Sembilan sempena sambutan Hari Koperasi Negara 2014 yang telah diadakan pada 23 Ogos 2014, KPF telah melakar satu lagi pencapaian yang membanggakan apabila telah dianugerahkan sebagai Koperasi Terbaik Hartanah. Pada majlis tersebut KPF menerima hadiah wang tunai RM20,000 beserta sijil penghargaan dan trofi yang telah disampaikan oleh Y.A.B. Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri kepada Y.Bhg.Dato’ Faizoull Ahmad, Pengerusi KPF.

Raja Tan Sri Muhammad Alias Dinobat Tokoh Koperasi 2014

Bekas Pengerusi FELDA Raja Tan Sri Muhammad Alias Raja Mohd Ali, yang kini berusia 82 tahun telah dinobat sebagai Tokoh Koperasi 2014. Anugerah itu yang membawa ganjaran wang tunai berjumlah RM50,000, sijil penghargaan dan trofi disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perasmian Hari Koperasi Negara 2014 di Stadium Mini, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Beliau tidak menyangka akan dinobat sebagai Tokoh Koperasi 2014 namun amat berbesar hati kerana menerima anugerah itu di tempat kelahirannya. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab menubuhkan Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad pada tahun 1 Julai 1980 dan menggalakkan peneroka Felda di seluruh negara agar menyertai KPF sehingga KPF berkembang maju. Beliau turut mengulas untuk berjaya, sesebuah koperasi perlu membentuk satu pasukan pengurusan yang baik, cekap dan ikhlas serta pihak pengurusan perlu memiliki keyakinan diri yang tinggi.

Presiden ANGKASA Kunjungi KPF

Pada 16 Disember 2014, KPF telah menerima kunjungan hormat rombongan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Y.Bhg. Dato' Hj Abdul Fattah. Beliau turut diiringi oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Tuan Haji Mutadho Bahri, Naib Presiden, Ahli Jawatankuasa Perhubungan dan Ketua Pegawai Eksekutif ANGKASA. Kunjungan hormat hampir 3 jam ini bertujuan untuk berbincang serta bertukar pendapat berkenaan gerakan koperasi di Malaysia. Ketua Pegawai Eksekutif KPF, Puan Sakinah Salleh telah menyampaikan taklimat mengenai aktiviti KPF yang turut disertai oleh Y.Bhg. Dato’ Zainal Hassan, anggota Lembaga KPF.

Bengkel Pelan Perniagaan 2015

Bengkel Pelan Perniagaan 2015 dan Pindaan Bajet 2015 serta Bajet 2016 telah diadakan pada 7 hingga 9 November 2014 bertempat di Nova Highlands Resorts and Residence, Cameron Highlands. Bengkel ini diadakan untuk merancang halatuju dan strategi bagi mengekalkan prestasi cemerlang dengan memelihara kepentingan anggota dan menyumbang kepada ekonomi negara. Antara sasaran KPF menjelang 2015 adalah kumpulan dana aset bernilai RM8.5 bilion dan pemberian dividen serta bonus anggota sebanyak 15 peratus.

Modal Syer Anggota Dihadkan 2.5 Bilion

Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Yang Ke 33 (MAPT) pada 21 Jun 2014 telah mengambil keputusan supaya jumlah modal syer anggota ditetapkan tidak melebihi RM2.5 bilion dengan memastikan 80% pegangan modal syer dimiliki oleh Kumpulan Peneroka manakala 20% dimiliki oleh Kumpulan Kakitangan. Penetapan jumlah modal syer anggota ini bertujuan supaya kadar bayaran dividen kepada anggota dapat dikekalkan secara konsisten antara 10%-15% yang berjumlah sebanyak RM275 juta.

Pelaksanaan Penambahan Modal Syer Anggota Melalui Sistem Giliran “Q-Share”

Untuk memastikan jumlah modal syer anggota tidak melebih RM2.5 bilion seperti yang ditetapkan Perwakilan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Yang Ke 33, Mesyuarat Lembaga Bil.05-2014/2015 (Khas) pada 13 September 2014 telah menguatkuasakan supaya semua permohonan langganan modal syer hendaklah melalui proses Sistem Giliran “Q-Share” (Q-Share). Q-Share adalah proses dimana anggota yang ingin menambah pegangan modal syer mereka perlu terlebih dahulu mengisi Borang Q-Share yang ditetapkan dan kelulusan akan diberikan mengikut giliran permohonan serta tertakluk kepada jumlah yang diluluskan oleh Jawatankuasa Khas yang dibentuk. Sistem Q-Share ini berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2014. Sehingga 31 Disember 2014 seramai 2,651 anggota telah mengemukakan permohonan dengan nilai langgan sebanyak RM72.72 juta.

Anggota Lembaga KPF Menghadiri Kursus Wajib Lembaga

Bertempat di Felda Residence Hot Springs, Sungkai, Perak anggota-anggota Lembaga KPF telah menghadiri Kursus Wajib Lembaga selama 4 hari mulai 11 hingga 14 September 2014. Kursus ini diadakan sebagai memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Suruhajaya Koperasi Malaysia. Kursus ini yang dihadiri 12 anggota Lembaga KPF telah dikendalikan oleh Pensyarah daripada Maktab Koperasi Malaysia.

KPF Berusaha Melahirkan Warga Kerja Cemerlang

Unit Sumber Manusia dan Latihan, Jabatan Operasi dan Pentadbiran KPF pada 12 hingga 14 September 2014 telah menghimpunkan seramai 120 orang petugas terdiri daripada pegawai dan kumpulan sokongan menyertai Program Team Building bertempat di Felda Residence Hot Springs, Sungkai, Perak. Program selama 4 hari ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Datuk Faizoull Ahmad, Pengerusi KPF. Penganjuran program ini bertujuan untuk melahirkan warga kerja KPF yang cemerlang, bagi meningkatkan mutu kerja berpasukan dikalangan pegawai dan petugas sokongan, mewujudkan jaringan perhubungan yang harmoni di antara petugas tanpa mengira Bahagian/Cawangan serta mengukuhkan jati diri dan sifat kepunyaan di kalangan warga kerja KPF. Pelbagai aktiviti menarik dilakukan disamping program-program kerohanian turut diselitkan dalam program tersebut. Secara keseluruhannya, kursus ini sangat memberi manfaat kepada peserta yang hadir.

Perlantikan Pengurus Baru

Selaras dengan perkembangan aktiviti pelaburan dan petumbuhan asetnya, KPF perlu menyediakan satu pasukan petugas profesional yang cekap. Bagi tujuan itu beberapa jawatan telah diwujudkan dan seramai 3 orang pegawai baru telah dilantik bagi mengisi keperluan tersebut. Tiga pegawai yang dilantik ialah Encik Masrul Faizal Mohamad, Pengurus Penyelidikan & Pembangunan Perniagaan, Encik Muhammad Faizal Azizan, Pengurus Perladangan & Hartanah dan Encik Sharil Saiful Mulok, Penolong Pengurus Urusharta.

Jasa Mereka Di Kenang

Beberapa anggota Lembaga bagi sesi 2013/2014 telah meletakkan jawatan pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Yang Ke 33 pada 21 Jun 2014 yang lalu. Ketiga-tiga mereka ialah Y.Bhg. Dato’ Mat Abas Yusoff, Encik Che Megat Dewa Khalid dan Encik Mohd Azam Yusoff. Y.Bhg. Dato’ Mat Abas Yusoff dan Encik Che Megat Dewa Khalid merupakan antara anggota Lembaga yang terawal dan terlama menganggotai Lembaga KPF. Kedua-dua mereka terlibat di peringkat awal penubuhan KPF pada 1 Julai 1980 sehingga WARKAH KPF berjaya KPF dinobatkan sebagai koperasi nombor satu negara. Jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan akan kekal terpahat dalam lipatan sejarah KPF .

KPF Sumbang RM300,000 Bantu Mangsa Banjir

KPF turut menyumbang sebanyak RM250,000 bagi membantu mangsa banjir di pantai timur. Bantuan disalurkan melalui beberapa buah persatuan bukan kerajaan, menyertai Konvoi Misi Bantuan Kemanusiaan Felda dan sumbangan langsung oleh KPF baru-baru ini bagi membantu lebih 2,000 warga FELDA dan anggota KPF di kawasan yang dilanda banjir. KPF juga turut menghantar pasukan sukarelawan Ops Cuci yang dianggotai lebih 20 petugas bersama bantuan makanan dan air minuman menggunakan lori Felda Trading Sdn Bhd dan kenderaan pacuan empat roda bagi membantu beberapa keluarga petugas KPF yang terjejas ekoran banjir kali ini. Kawasan yang menerima bantuan adalah Wilayah Gua Musang, Felda Jengka 8, Jengka 24, Seberang Tayor, Ijok, Kemahang, Kampong Manik Urai, Kuala Krai, Chenor dan Lenggong. Ketua Pegawai Eksekutif KPF Puan Sakinah Salleh berkata situasi banjir kali ini adalah antara paling terburuk dalam sejarah negara dan ia membuatkan KPF berasa terpanggil untuk membantu mangsa banjir tersebut dan berharap semoga bantuan ini dapat meringankan beban mereka.

Dalam Kenangan

Pada 7 Oktober 2014, seorang petugas KPF, Allahyarham Azhary Mohd Sharif telah kembali ke rahmatullah akibat pendarahan dalam otak. Beliau yang bertugas sebagai Pembantu Eksekutif di dalam Unit Teknologi Maklumat & Sistem dan telah berkhidmat dengan KPF selama 23 tahun, mulai 1 Januari 1991. Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak. Beliau seorang yang amat disenangi oleh rakan setugas dan seorang yang ceria. Semoga roh beliau dicucuri rahmat.